Keruntuhan Zaman Gangsa Lewat
Keruntuhan Zaman Gangsa Lewat

Keruntuhan Zaman Gangsa Lewat

Keruntuhan Zaman Gangsa Lewat merupakan satu zaman dalam sejarah yang mana pelbagai masyarakat runtuh pada abad ke-12 SM yang dikaitkan berlaku kerana perubahan persekitaran, penghijrahan besar-besaran, dan kemusnahan bandar-bandar. Keruntuhan ini telah menjejaskan begitu banyak tempat di Mediterranean Timur (Afrika Utara dan Eropah Tenggara) dan Timur Dekat, khususnya Mesir, timur Libya, Balkan, Aegia, Anatolia, dan, pada tahap yang lebih kecil, Kaukasus. Ia terjadi dengan tiba-tiba, amat ganas, dan telah mengganggu budaya kebanyakan tamadun Zaman Gangsa, serta menyebabkan kemerosotan ekonomi di kuasa-kuasa besar Mediterranean, menandakan permulaan Zaman Kegelapan Yunani.Bandar-bandar dan ekonomi besar Yunani Mikenai, rantau Aegia dan Anatolia runtuh pada Zaman Gangsa Lewat, menjadi kampung-kampung terpencil kecil semasa Zaman Kegelapan Yunani (s. 1100 – 750 SM). Empayar Het di Anatolia dan Masyrik runtuh, manakala negeri-negeri seperti Empayar Assyria Tengah di Mesopotamia dan Kerajaan Baru Mesir terselamat walaupun telah menjadi lemah. Budaya-budaya lain seperti Fenisia kemudiannya menjadi lebih berautonomi dan berkuasa dengan tentera Mesir dan Assyria semakin berkurangan di Asia Barat.Pelbagai teori telah dicadangkan sejak abad ke-19 bagi kenapa Zaman Gangsa Lewat runtuh. Kebanyakannya berpendapat ia kerana bandar-bandar mereka musnah. Antara sebabnya ialah letusan gunung berapi, kemarau, penyakit, pencerobohan oleh Orang Laut atau penghijrahan orang Dorian, gangguan ekonomi akibat pertukangan besi yang meningkat, dan perubahan teknologi dan strategi tentera yang menyebabkan kereta kuda tidak digunakan lagi. Gempa bumi juga telah dicadangkan sebagai penyebab, tetapi kajian baharu menunjukkan bahawa ia mungkin tidak begitu penting.[1] Selepas zaman ini, pertukangan besi berubah dan memulakan Zaman Besi di seluruh Eurasia dan Afrika pada alaf pertama SM.